Sebagai anak kepada seorang guru,
saya sangat percaya bahawa sebab untuk menjadi seorang guru merupakan satu
prasyarat yang terpenting bagi seorang guru. Kenapa anda mahu jadi seorang
guru?
Seorang guru merupakan seseorang yang bekerja demi sebuah idealisme. Justeru
guru adalah idealis. Tiada seseorang pun yang mampu menjadi seorang guru jika
kerjayanya itu hanyalah dianggap sebagai suatu mata pencarian. Sekolah adalah
kilang, murid-murid pula produk-produk yang walhasilnya telah ditentukan;
warnanya begini, bentuknya begini, paketnya begini, labelnya begini kemudian akan
dipasarkan pula ditempat sekian-sekian. Guru yang tidak bekerja demi sebuah
ideal, menghancurkan puluhan setelah sebelumnya menghancurkan dirinya sendiri.
Guru yang sebenar tahu bahawa pendidikan adalah alat untuk melawan. Melawan
sistem yang menghilangkan aspirasi dan harapan. Sistem yang melahirkan manusia
yang kecil. Manusia yang selesa didalam status quo dan terus bermentaliti
subsidi. Mereka sentiasa selesa. Kata mereka, ‘syukurlah kita masih aman’. Mereka
mudah disumbat retorik, justeru mereka juga ketakutan. Kata mereka, ‘lihatlah
ancaman sini-sana juga agenda-agenda mereka-mereka itu’. Mereka takut tetapi
tidak pula mahu mengenal dan belajar. Sedangkan manusia itu takut pada sesuatu kerana
mereka tidak kenal dan tidak tahu. Jadilah mereka itu manusia yang bodoh lagi
bodoh. Bodoh kerana tidak tahu dan bodoh kerana tidak mahu tahu. Justeru, seorang
pekerja kilang tidak akan mampu memenuhi aspirasi pendidikan. Kerana kemampuan
memberi sesuatu bermula dengan memilikinya. Kita perlukan idealis. Kita justeru
memerlukan guru.
Kita perlukan aspirasi dan harapan. Jadi kita memerlukan
guru. Guru yang sedar bahawa pendidikan adalah alat untuk melawan. Pendidikan
adalah lilin pemecah kegelapan. Guru yang sedar bahawa mereka bukan mahu
mengeluarkan produk, tetapi mereka mahu melahirkan manusia. Pengajian diberikan
menembus dan merentas bilik darjah. Di sekolah mereka guru, diluar pagar
sekolah juga mereka guru. Murid-murid adalah anak-anak mereka, Mereka mahu
lihat mereka berjaya dan membesar sebagai manusia. Masalah mereka dibawa hingga
kerumah, kerana masalah-masalah ini bukan hanya merupakan masalah kerja, ini
bahagian dari kehidupan. Mereka tahu bahawa anak-anak mereka ini bukan kurang
informasi dan kosa kata tetapi mereka kehilangan aspirasi, harapan dan makna.
No comments:
Post a Comment