October 21, 2013

Guru yang melawan

Sebagai anak kepada seorang guru, saya sangat percaya bahawa sebab untuk menjadi seorang guru merupakan satu prasyarat yang terpenting bagi seorang guru. Kenapa anda mahu jadi seorang guru? 

Seorang guru merupakan seseorang yang bekerja demi sebuah idealisme. Justeru guru adalah idealis. Tiada seseorang pun yang mampu menjadi seorang guru jika kerjayanya itu hanyalah dianggap sebagai suatu mata pencarian. Sekolah adalah kilang, murid-murid pula produk-produk yang walhasilnya telah ditentukan; warnanya begini, bentuknya begini, paketnya begini, labelnya begini kemudian akan dipasarkan pula ditempat sekian-sekian. Guru yang tidak bekerja demi sebuah ideal, menghancurkan puluhan setelah sebelumnya menghancurkan dirinya sendiri. 

Guru yang sebenar tahu bahawa pendidikan adalah alat untuk melawan. Melawan sistem yang menghilangkan aspirasi dan harapan. Sistem yang melahirkan manusia yang kecil. Manusia yang selesa didalam status quo dan terus bermentaliti subsidi. Mereka sentiasa selesa. Kata mereka, ‘syukurlah kita masih aman’. Mereka mudah disumbat retorik, justeru mereka juga ketakutan. Kata mereka, ‘lihatlah ancaman sini-sana juga agenda-agenda mereka-mereka itu’. Mereka takut tetapi tidak pula mahu mengenal dan belajar. Sedangkan manusia itu takut pada sesuatu kerana mereka tidak kenal dan tidak tahu. Jadilah mereka itu manusia yang bodoh lagi bodoh. Bodoh kerana tidak tahu dan bodoh kerana tidak mahu tahu. Justeru, seorang pekerja kilang tidak akan mampu memenuhi aspirasi pendidikan. Kerana kemampuan memberi sesuatu bermula dengan memilikinya. Kita perlukan idealis. Kita justeru memerlukan guru.


Kita perlukan aspirasi dan harapan. Jadi kita memerlukan guru. Guru yang sedar bahawa pendidikan adalah alat untuk melawan. Pendidikan adalah lilin pemecah kegelapan. Guru yang sedar bahawa mereka bukan mahu mengeluarkan produk, tetapi mereka mahu melahirkan manusia. Pengajian diberikan menembus dan merentas bilik darjah. Di sekolah mereka guru, diluar pagar sekolah juga mereka guru. Murid-murid adalah anak-anak mereka, Mereka mahu lihat mereka berjaya dan membesar sebagai manusia. Masalah mereka dibawa hingga kerumah, kerana masalah-masalah ini bukan hanya merupakan masalah kerja, ini bahagian dari kehidupan. Mereka tahu bahawa anak-anak mereka ini bukan kurang informasi dan kosa kata tetapi mereka kehilangan aspirasi, harapan dan makna.