Photo credit [here] |
Kita dan Realiti.
"Tuhan kami ialah yang telah memberikan
kepada tiap sesuatu kejadiannya, kemudian memberikannya petunjuk.(Taha: 50)"
Hampir 7 bulan saya berada di bumi Kanada. Alhamdulillah, Allah
mengizinkan saya untuk melanjutkan pengajian dalam jurusan Molekular Biologi di
bawah program sains hayat di Universiti Toronto. Sepanjang pembelajaran
disini berbagai kejutan dan pengalaman baru dialami. Sebagai seorang
pelajar jurusan biologi suka saya memperkatakan mengenai topik kali ini dari
lensa akademik saya.
Terkejut juga saya apabila sampai dan melihat bagaimana subjek
sains biologi diajar disini. Antara kepelikan yang paling utama ialah bagaimana
masyarakat akademik disini mengangkat teori evolusi sebagai asas bagi
pembelajaran ilmu biologi. Secara konseptualnya ilmu biologi biasanya diasaskan
melalu teori sel (Theory of Cell) dimana unit asas bagi setiap organisma hidup
ialah sel. Tetapi disini beserta teori sel ini ialah teori evolusi (Theory of
Evolution) dimana premis utamanya ialah setiap organisma hidup berkongsi moyang
yang sama (common ancestor). Dua konsep ini dianggap asas disini dan subjek
evolusi merupakan subjek wajib di tahun pertama bagi semua pelajar jurusan
sains hayat.
Namun, tidak semua konsep yang dipelajari didalam subjek evolusi
adalah salah dan perlu ditolak. Tidak. Sebagai mereka yang berpelajaran kita
perlu adil dalam menilai pendapat orang lain dan menganalisa sesuatu secara
tepat. Kebanyakan idea didalam konsep ini merupakan sesuatu yang ‘common sense’
dan mampu dicerna oleh sesiapa sahaja . Tidak dilupakan ada juga yang ‘not
making any sense’.
Tetapi bagi saya apa yang membimbangkan tentang kaedah pengajaran
biologi dari sudut pandang evolusi ialah sekularisasi ilmu. Dengan adanya
evolusi kononnya terjawablah asal usul sesuatu spesies. Mereka tidak perlukan
lagi Tuhan untuk menjelaskan diversifikasi spesies bakteria, arkaea, tumbuhan
mahupun haiwan yang wujud di muka bumi ini. Didalam subjek ‘Diversity of
Species’ misalnya saya belajar mengenai bermacam jenis organisma dengan
berbagai jenis morfologi, berbagai jenis cara makan, berbagai jenis cara
membiak dan berbagai jenis adaptasi untuk hidup di persekitaran yang berbagai.
Tetapi akhirnya mekanisma evolusi yang mendapat tempat sebagai punca bagi semua
diversiti ini. Akhirnya ilmu menjadi kering dan langsung tidak membawa manusia
kembali mengangungkan Sang Pencipta. Jadilah ilmu sekadar makanan akal yang
tidak dapat membangkitkan ruh.
Proses sekularisasi ini bukan sahaja menjangkiti pendidikan
biologi malah pendidikan itu sendiri secara keseluruhannya. Malah bukan sahaja
sistem pendidikan tetapi meliputi sistem kekeluargaan, ekonomi, politik dan
sebagainya umumnya pada realiti hari ini.
Ideologi dan pendokong.
Sesuatu ideologi tidak akan mampu bangkit malah wujud tanpa ada
pendokongnya.
Ini merupakan suatu kenyataan yang saya rasa mampu diterima oleh
semua. Sekularisasi dalam pengajaran subjek biologi tadi ialah kerana adanya
mereka yang terima, yakin dan mengembangkan ideologi evolusi itu tadi.
Misalnya, profesor-profesor disini telah menghabiskan masa muda mereka
menelaah, mengkaji, menganalisa untuk menjustifikasi kebenaran ideologi ini.
Ideologi ini kemudiaannya dikembangkan dengan diajar kepada pelajar-pelajar
mereka. Usaha mereka nampak keberhasilannya melihatkan bagaimana buku-buku teks
biologinya kini diolah dengan cara pandang evolusi baik dari sudut terminologi
hingga kepada konsep-konsep. Ya, ideologi ini bangkit dengan usaha
pendokong-pendokongnya yang meyakini akan kebenarannya dan menganggap sudut
pandang ini yang patut diterima oleh masyarakat umum.
Ingin saya perjelaskan lagi, bahawa ilmu itu mungkin sama tetapi
pendokongnya akan menentukan halatuju dalam konteks ini ilmu itu. Ingin saya
berikan contoh disini bagaimana saya diajar subjek biologi di bangku sekolah
menengah dahulu. Kelas kami akan dimulakan dengan bacaan doa. Seringkali
ayat-ayat Al-Quran diselitkan didalam pembelajaran kami. Ketika menerangkan
konsep embriologi, Al-Quran menjadi sandaran. Malah pernah soalan pertama dalam
ujian bulanan kami ialah ayat Al-Quran yang merujuk kepada sesuatu konsep
biologi. Akhirnya ilmu yang diperoleh tidak lain tidak bukan membawa kami lebih
dekat dengan Sang Pencipta.
Isinya sama. Tapi, cikgu yang berbeza. Pendokong ideologi berbeza.
Pendokong berminda evolusi akan menerjemahkan sesuatu dengan cara pandang
sekularnya manakala pendokong fikrah Islam akan menerjemahkan sesuatu dengan
cara pandang Islam yang akan mendekatkan penerimanya kepada Allah SWT.
Apa Ideologi @ Fikrah Kita.
Begitu juga halnya dengan Islam yang kita sayangi dan yakini ini.
Kita terima dan yakin bahawa cara pandang Islam patut diterima dan
diimplementasi oleh masyarakat umum. Sebagaimana mereka –mereka yang saya
sebutkan tadi terima dan yakin ideologi mereka sebagai yang terbaik dan perlu
diimplementasi dalam bidang pendidikan mereka. Jika mereka tiada penerimaan dan
keyakinan, pastinya tidak akan ada usaha untuk mengembangkannya.
Inilah hakikatnya yang perlu ada bagi mereka yang menggelar diri
mereka sebagai pendokong-pendokong Islam kerana sunnatullah itu sama. Perlu ada
keyakinan, keikhlasan, semangat dan usaha untuk menyebarluaskan fikrah atau
cara pandang yang anda yakini. Kemandulan dalam usaha penyebaran dan
pengembangan ini bererti berlaku kelonggaran pada fikrah yang anda yakini.
Kriteria pendokong inilah yang digariskan oleh Imam Hasan Al-Banna sebagai
rukun pemuda :
1. Keimanan
2. Keikhlasan
3. Semangat
4. Usaha/Amal
Teliti dan susurilah sejarah dan anda akan melihat pendokong apa
jua ideologi pasti akan mempunyai ciri-ciri ini. Jadi apa cara pandang kita?
Apa fikrah atau ideologi yang kita perjuangkan? Bagi para pemuda ketahuilah
bahawa kemampuan yang ada pada anda mampu untuk membina dan membangunkan apa
jua ideologi. Justeru Imam Banna berpesan:
"Kamu perlu
berfikir masak-masak, gandakan usaha, tentukan pendirian, tunaikan segala hak
ummah, dengan segala keistimewaan yang kamu miliki"
Buatlah pilihan yang tepat. Allah berfirman:
"Dan ini
jalanKu yg lurus, kamu ikutilah ia. Jangan kamu ikut jalan-jalan (yg lain),
nanti kamu berpecah dari jalanNya ....." (Al-An'aam:153)
Penutup
Justeru, ingin saya serukan kepada para pemuda.
Diri anda adalah lebih daripada apa yang anda fikirkan tentangnya. Ketahuilah
seperti yang saya sebutkan tadi bahawa potensi dan kemampuan yang kita miliki
mampu untuk membangunkan apa jua ideologi. Sepertimana professor-profesor saya
di usia muda mereka mampu membangunkan ideologi evolusi dan sekularisasi ilmu
mereka, begitu jua kita yang pastinya memiliki kemampuan yang sama.
Jikalau anda mencari ideologi untuk didokong,
dokongilah Islam. Yakinlah bahawa hanyasanya ideologi (jalan) ini yang diredhai
oleh Allah. Sertakan pula dengan keikhlasan. Padukannya dengan semangat. Dan
beramallah dengan fikrah itu. Beserta semua ini dan bantuan dari Allah,
Inshallah kita mampu melakukan perubahan kearah pembaikan !
Maaf jika saya banyak menyentuh tentang biologi
di awal artikel ini. Memang saya ada minat mendalam dalam bidang ini. Terus
terang dalam ilmu biologi terlalu banyak misteri yang belum terungkai dan tiada
‘absolute answer’ tentang sesuatu. Semuanya berubah. Jika saya ingin menasihati
para evolusionis, saya akan mengungkapkan kata-kata Nabi Musa a.s apabila
ditanya Firaun tentang Tuhannya:
Alfaqir Ilallah,
SYED ZULFAQAR BIN SYED MOHD KHAIR
Pelajar jurusan Molekular Biologi,
University of Toronto, Kanada.
Terbaik ! Ramai orang mengaku berfikrah, tapi tidak beramal.
ReplyDeleteBukanlah di katakan fikrah sesuatu yang tidak menghasilkan amal.
Semoga kembalinya anda ke Malaysia, akan membawa perubahan kepada masyarakat. Terutama dalam menyebarkan fikrah kita.
Salam sayang,
-Agunci-
Jazakallah atas komentarnya akhi.
ReplyDeleteSalam sayang jua. :)