Aku Melayu Muslim atau Muslim
Melayu? Atau aku ni Melayu? Atau aku ni Muslim? Atau aku ni Malaysian?
Saya selalu diraut isu identiti. Isu
keistimewaan Melayu yang saya lihat ketidakadilannya, perpaduan antara
masyarakat berbilang kaum yang mustahil kelihatannya dan sebagainya sering sahaja
menguasai benak diri. Sering juga tertanya-tanya apakah sebenarnya nilai sebuah
bangsa? Apakah pula relevansi perjuangan bangsa?
Isu
bangsa telah menjadi satu isu yang problematik terutama dalam kalangan
masyarakat Islam di Malaysia. Bermula dari saat awal kebangkitan kesedaran
politik di Tanah Melayu yang dijuarai golongan nasionalis, isu relevansi atau
komplementasi Islam dan bangsa mula menjadi subjek pertikaian. Isunya kian
meruncing dengan pembentukan parti-parti politik berasaskan perkauman dan
persepsi akan eksklusiviti Islam kepada bangsa Melayu di Malaysia.
“Isu
bangsa telah menjadi satu isu yang problematik terutama dalam kalangan
masyarakat Islam di Malaysia”
Suasana
politik baru-baru ini juga menambah tanda bahawa isu ini masih dalam
pertikaian. Komitmen PAS tidak pernah berubah. Dari awal lagi seruan PAS adalah
Islam sebagai rahmatan lil ‘alamin dan menolak keras pemahaman perkauman sempit
UMNO/BN. Malah seruan TGNA kekal sama bahawa PAS sedia dibubarkan dan menyertai
UMNO andaikata faham nasionalis sempit mereka ditanggalkan.
Namun
muncul pula seruan baru, yang berkomitmen mengangkat Islam dengan bangsa Melayu
secara teras. Seruan ini yang mula dipopulari oleh ISMA yang bertanding atas
tiket BERJASA pada PRU-13 akan datang seakan memberi alternatif baru akan
hubungan Islam dan bangsa. Adakah ini alternatif yang ditunggu?
Melayu-Islam
dalam homogeniti masyarakat di Tanah Melayu.
Tidak
dinafikan bahawa Islam sangat sinonim dengan bangsa Melayu di Malaysia. Hal ini
kerana hubungan sejarah Islam-Melayu yang sangat lama dan kaya. Islam terlalu
banyak sumbangannya buat Malaysia. Dan bangsa Melayu yang mengambil Islam pada
zaman awal sejarah telah dianugerahkan kisah ketamadunan yang harum dan agung
dengan Islam. Empayar Islam Melayu Melaka mekar bunganya didalam sejarah. Hingga
ada sejarawan barat yang mengibaratkan Kota Melaka yang ditadbir Muslim ketika
itu sebagai “Venice of the East” dek kerana tahap ketamadunan dan taraf hidup yang
tinggi masyarakat Melaka. Tidak dapat dinafikan Islam telah mengangkat bangsa
Melayu. Dan Islam-Melayu dilihat bergerak selesa. Isu Melayu dan Islam tidak
timbul kerana homogeniti masyarakat ketika itu, yang hampir keseluruhannya dari
bangsa Melayu.
“Isu Melayu dan Islam tidak
timbul kerana homogeniti masyarakat ketika itu, yang hampir keseluruhannya dari
bangsa Melayu”
Tetapi
Allah mentakdirkan perubahan dalam masyarakat Tanah Melayu. Negara ini bakal
membentuk struktur masyarakat baru. Pembinaan masyarakat baru ini bermula zaman
awal pra-kemerdekaan dimana Tanah Melayu mula dibanjiri rakan-rakan dari bangsa
Cina dan India atas inisiatif British untuk ‘memajukan’ ekonomi Tanah Melayu.
Sabah dan Sarawak yang bersama Persekutuan Tanah Melayu membentuk Malaysia pada
tahun 1963 terus merombak homogeniti masyarakat di Malaysia. Kini sifir mudah
Malaysia sama dengan Melayu mula pudar dalam masyarakat. Bangsa Malaysia mula
sedar bahwa telah dimulai sejarah baru dan masyarakat berbilang kaum merupakan
satu realiti buat Negara ini.
Melayu-Islam
dalam masyarakat Malaysia baru.
Jika sifir Malaysia sama dengan
Melayu telah kelihatan seperti bertemu penyelesaian baru, sifir Melayu sama dengan
Islam nampaknya masih bertemu penyelesaian yang sama walaupun kelihatan
penghasilan beberapa jalan kira yang baru.
Namun jelas realitinya sudah berubah.
Suasana politik sudah bertukar. Kesinoniman Melayu-Islam tidak akan lagi menepuh zaman selesa. Islam masih sinonim dengan Melayu. Tapi masyarakat
pula sudah berbilang bangsa. Memang tiada salah Islam disinonimkan dengan Melayu,
tetapi kesinoniman itu perlu ditimbang, jangan sampai salah ukurannya.
Tidak dinafikan, kesinoniman Islam dan Melayu telah
mengundang beberapa tanggapan negatif. Antaranya ialah Islam adalah Melayu dan
Melayu adalah Islam. Kesannya Islam dilihat eksklusif untuk bangsa Melayu.
Tanggapan yang kedua adalah persepsi
negatif masyarakat bukan Islam terhadap Islam. Masalah sosial dan korupsi yang
dibudayakan bangsa Melayu telah memberi persepsi buruk ini kepada Islam.
“ sifir Melayu sama dengan
Islam nampaknya masih bertemu penyelesaian yang sama walaupun kelihatan
penghasilan beberapa jalan kira yang baru”
Saya adalah insan yang tidak setuju akan
eksklusiviti Islam kepada sesuatu bangsa. Biarlah betapa besar pun perannya
atau betapa lama pun sejarah Islam nya, Islam tetap Islam dan Islam tetap
rahmatan lil ‘alamin (rahmat buat sekalian alam). Rahmat Islam merentasi sempadan sempit perkauman dan
bangsa. Islam tidak wajar dijaja untuk dipertahankan dengan mainan sentimen
rasis perkauman. Umat Islam tidak wajar disatukan atas kesatuan sebagai satu
bangsa kaum. Muslim dan seluruh manusia merupakan ummah yang satu (ummatan
wahidatan), Allah Rab buat sekalian ummah manusia dan Nabi Muhammad adalah
utusan dan rahmat buat seluruh ummah manusia.
Biadap
sungguh kita mengeksklusifkan Islam dan mencanang kononnya bangsa kita
sebagai ‘caretaker’ buat Deen ini. Jika Islam mempunyai ‘caretaker’nya dari
kalangan manusia sekalipun, ianya adalah seluruh bangsa Muslim bukan hak eksklusif
buat Cina, Melayu atau India sahaja.
Hubungan
Islam dan bangsa.
Menarik
di dalam Al-Quran ada satu surah eksklusif tentang bangsa, iaitu Surah Quraish.
Bukanlah surah ini dieksklusifkan untuk bangsa Quraish, tetapi ini adalah satu
surah yang dalam pengetahuan saya eksklusif membicarakan tentang perihal bangsa. Surah ini turun pada
zaman Makkiyyah, era dimana pembentukan identiti Islam bangsa Arab
ketika itu berlaku.
لِإِيلَـٰفِ قُرَيۡشٍ (١) إِیلَـٰفِهِمۡ رِحۡلَةَ ٱلشِّتَآءِ وَٱلصَّيۡفِ (٢) فَلۡيَعۡبُدُواْ رَبَّ هَـٰذَا ٱلۡبَيۡتِ (٣) ٱلَّذِىٓ أَطۡعَمَهُم مِّن جُوعٍ۬ وَءَامَنَهُم مِّنۡ خَوۡفِۭ
"[1] Kerana
kebiasaan aman tenteram kaum Quraisy [2] (laitu) kebiasaan aman tenteram
perjalanan mereka pada musim sejuk, dan pada musim panas [3] Maka hendaklah
mereka menyembah Tuhan yang menguasai rumah (Kaabah) ini [4] Tuhan yang menyelamatkan mereka dari kelaparan, dan mengamankan mereka
dari ketakutan"
Bangsa arab sebelum Islam sangat terikat dengan sentimen perkauman
yang menebal melalui struktur kabilahnya. Justeru, tidak hairanlah diturunkan
suruh Quraish supaya umat ketika itu mempunyai panduan untuk memakai fabrik
bangsa apa dengan identiti baru mereka sebagai muslim. Justeru Allah mahu
mengajar kita yang mempunyai bangsa akan dimana tempat letak bangsa dalam identiti Muslim kita. Seruan ini bukan sahaja untuk bangsa Quraisy, tetapi juga kekal relevan buat
bangsa Melayu, bangsa Cina, bangsa India, bangsa Iban, bangsa Kadazan dan apa
jua bangsa yang dipakai oleh manusia.
Surah
Quraisy sangat berhubung rapat dengan surah sebelumnya iaitu surah Al-Fil.
Didalam surah Al-Fil Allah menceritakan kisah tentera Abrahah yang cuba untuk
menghancurkan Ka’bah di Mekah. Persitiwa kekalahan tentera bergajah Abrahah
memberi impak politik yang sangat besar kepada bangsa Quraish yang bertindak
sebagai ‘caretaker’ kepada Kota Mekah. Semenanjung Arab mula masyhur dengan
berita kekalahan tentera bergajah Abrahah di tanah Mekah. Hal ini melonjakkan
status Mekah dan Quraisy. Tidak ada kuasa yang berani mencabar status quo
bangsa Quraish dan menghampiri Mekah kerana status tanah Mekah sebagai tanah
suci yang mendapat penjagaan langsung daripada Tuhan.
أَلَمۡ تَرَ كَيۡفَ فَعَلَ رَبُّكَ بِأَصۡحَـٰبِ ٱلۡفِيلِ (١) أَلَمۡ يَجۡعَلۡ كَيۡدَهُمۡ فِى تَضۡلِيلٍ۬ (٢) وَأَرۡسَلَ عَلَيۡہِمۡ طَيۡرًا أَبَابِيلَ (٣) تَرۡمِيهِم بِحِجَارَةٍ۬ مِّن سِجِّيلٍ۬ (٤) فَجَعَلَهُمۡ كَعَصۡفٍ۬ مَّأۡڪُولِۭ (٥
"[1] Tidakkah engkau mengetahui bagaimana Tuhanmu
telah melakukan kepada angkatan tentera bergajah [2] Bukankah Tuhanmu telah menjadikan rancangan jahat mereka dalam keadaan yang rugi dan memusnahkan mereka?
[3] Dan Ia telah menghantarkan kepada mereka (rombongan) burung berpasuk-pasukan [4] Yang melontar mereka dengan batu-batu dari sejenis tanah yang dibakar keras
[5] Lalu Ia menjadikan mereka hancur berkecai seperti daun-daun kayu yang dimakan ulat."
Kelebihan
kepada bangsa Quraisy ini Allah rakamkan dalam Surah Quraish ayat ke-4, bahawa
mereka merupakan bangsa yang dikurniakan kekuatan ekonomi (bebas dari
kelaparan) dan kekuatan politik dirantau Arab (bebas dari rasa takut). Bangsa
Quraisy bebas berdagang tanpa rasa takut di jazirah Arab. Mereka akan menghantar
delegasi perdagangan, musim sejuk ke Yaman dan pabila tiba musim panas ke Syam.
Selaku ‘caretaker’ Kaabah pula, Quraish mengaut keuntungan ekonomi dan status
yang besar. Mereka mendapat keuntungan langsung daripada rombongan yang singgah
untuk beribadah di Kaabah. Mereka juga mendapat hak untuk mengurus bekalan air
sekitar kaabah. Mereka juga merupakan ‘key players’ dalam setiap keputusan
politik di Mekah.
“Persitiwa kekalahan tentera bergajah Abrahah
memberi impak politik yang sangat besar kepada bangsa Quraish yang bertindak
sebagai ‘caretaker’ kepada Kota Mekah”
Lihat
pula bangsa Melayu. Mari kita letakkan Melayu di tempat bangsa Quraish dan
analisa kekuatan dan kelebihan yang Allah beri kepada kita. Kita mendapat
nikmat menjadi ‘pioneer’ Islam di Malaysia ini. Allahuakbar, nikmat apakah yang
lebih besar dari itu. Kita juga dikurniakan Negara yang mempunyai kedudukan
geopolitik yang strategik. Pelabuhan kita menghubungkan perdagangan benua India
dan China. Kita juga mempunyai kuasa dan suara politik yang kuat di dalam
Negara. Kita juga terkenal sebagai bangsa yang santun dan kaya dengan budaya. Kita
juga bangsa kaya sejarah. Tamadun lama kita telah banyak menyumbang dalam
mencorak tamadun nusantara keseluruhannya.
Letakkan
dan analisa pula bangsa Cina, India, Iban, Kadazan dan sebagainya. Tidak dapat
tidak, kita akan mendapati setiap bangsa mempunyai kelebihan dan kekuatannya
yang tersendiri.
TAPI.
Dari
manakah datangnya kehebatan Quraish? Dari manakah datangnya kehebatan Melayu?
Dari manakah datangnya kehebatan Cina? Dari manakah datangnya kehebatan India?
Kemana
pula hendak dibawa kehebatan Quraisy? Kemana pula hendak dibawa kehebatan
Melayu? Kemana pula hendak dibawa kehebatan Cina? Kemana pula hendak dibawa
kehebatan India?
Kehebatan
ini dari siapa?
Lihat
kembali Surah Al-Fil, dalam pertarungan yang bakal mengambil tempat di Mekah
apakah kemungkinannya? Abdul Mutallib bersama bangsa Quraisy bertempur dengan
Abrahah, dan mereka meraih kemenangan. Quraish akan diangkat. Sembahan berhala
mereka akan diangkat. Ataupun Abrahah menang. Maka Abrahah diangkat. Agama
nasrani akan diangkat. Tetapi Allah mentakdirkan keputusan yang berbeza. Allah
sendiri yang mengalahkan Abrahah. Allah mahu manusia membesarkannya. Allah mahu
manusia mengangkat deenNya. Kemenangan atas Abrahah bukan kerana kehebatan Quraish. Kehebatan Quraish
itu datangnya dari Allah. Allah mahu manusia sedar apa jua kehebatan bangsa
mereka, ianya datang daripada Allah S.W.T. Seluruh bangsa manusia harus sedar
perkara ini.
Kehebatan
ini untuk apa?
Lihat
kembali Surah Quraish, Allah menceritakan anugerah kehebatan yang diberikan
kepada bangsa mereka. Untuk apa? Falya’budu Rabbahazil Bait. Maka dengan
kehebatan ini abdikanlah diri kepada pemilik Rumah (Ka’bah) ini. Allahuakbar,
kehebatan yang dikarunia ini bukan untuk eksploitasi bangsa kamu, tetapi
hendaklah kamu menggunakannya sebagai alat atau wasilah untuk kamu mengabdikan
diri kepada Allah.
Nilai
‘bangsa’ kita.
Semak
Surah Al Fil dan Quraish. Inilah nilai bangsa yang harus kita pakai. Saya tolak
semua seruan perkauman atas nama Islam. Bagi saya ia mencalarkan kelebihan yang
Allah beri kepada kita. Setelah kita dimuliakan dengan Islam ini, sanggup pula
kita berikan kredit dengan menyeru kepada bangsa kita.
Keistimewaan dan kelebihan ini
seharusnya kita salurkan untuk Islam. Saya Muslim yang percaya bahawa Islam
tidak pernah hidup dalam Utopia dimana Islam cuma akan memimpin atau ‘govern’ Muslim. Tidak sama sekali. Malah sepanjang perjalan sejarah Islam,
masyarakatnya berbilang. Semua mereka mendapat hak mereka yang sepatutnya dan mereka
hidup aman bersama dibawah keadilan yang diberikan oleh Islam.
Jika kita mahu
Islam memainkan perannya sebagai rahmatan lil ‘alamin buanglah sentimen
perkauman dalam siasah kita. Sentimen-sentimen ini walau Islamik manapun ianya cuma akan merenggangkan lagi hubungan dan menjauhkan masyrakat bukan
Islam kepada rahmat Islam.
“Islam
tidak pernah hidup dalam Utopia dimana Islam cuma akan memimpin atau ‘govern’ Muslim”
Siasah kita haruslah dengan nilai universal Islam. Islam
mampu didokong sekalian manusia merentasi bangsa dan agama kerana ia adalah
sistem nilai yang adil untuk semua. Peran kitalah untuk menunjukkan apa Islam
yang sebenar. Justeru masyarakat perlu diterangkan. Sibuk bersiasah jangan
ditinggalkan dakwah. Sebab itu tiada ulama’ yang akan mengatakan akan kepentingan
siasah melainkan akan disebutkan kepentingan dakwah.
Hebat manapun bangsa kita bukan kerana label bangsa. Kita hebat kerana Allah dan kehebatan ini kita curah untuk DeenNya. Sampaikan rahmat Islam buat sekalian alam!
وَ مَا أَرْسلْنَك إِلا رَحْمَةً لِّلْعَلَمِينَ
“Tidaklah Aku mengutusmu kecuali untuk menjadi rahmat bagi semesta alam.”
(21: 107)